Puasa Bagi Ibu Mengandung Dan Menyusukan Anak | Assalamualaikum dan Salam 2 Ramadhan, telah masuk bulan penuh keberkatan ni, berlegar-legar dalam kepala ibu-ibu yang mengandung dan sedang menyusukan anak, boleh kah tidak berpuasa dibulan Ramadhan? sha pernah kongsikan sedikit sharing tentang topik ini pada entry sebelum, semasa sha mengandungkan anak pertama, bagi sha tiada masalah untuk ibu mengandung itu sendiri berpuasa jika tidak memudaratkan diri serta anak dalam kandungannya
Baca : Bolehkah Ibu Hamil Berpuasa?
Namun dientry ini sha ingin berkongsi pendapat seorang ustaz terkenal di Malaysia iaitu Ustaz Azhar Idrus mengenai topik ini..mudah-mudahan dapat menyakinkan bahawa ibu mengandung dan menyusukan anak boleh berpuasa di bulan Ramadhan.

Wanita yang hamil dan ibu yang menyusu wajib berpuasa seperti orang lain. 

Ramai orang awam yang berpegang jika bahawa wanita hamil dan ibu mengandung tidak wajib berpuasa. Ini adalah pegangan yang salah lagi karut kerana keduanya wajib berpuasa dan hanya boleh tidak berpuasa apabila ada keuzuran sahaja.

Wanita hamil dan ibu mengandung yang tidak berpuasa tanpa keuzuran adalah berdosa kerana meninggalkan ibadah yang diwajibkan ke atas mereka.

Wanita yang hamil dan ibu yang menyusu jika mereka bimbang atas diri masing-masing jika meneruskan ibadah puasa akan jadi mudarat maka barulah diharuskan keduanya tidak berpuasa dan wajib atas keduanya qadha.

Dan jika ibu yang menyusu bimbang kekurangan susu kalau berpuasa dan yang hamil bimbangkan mudarat kepada kandungannya kalau berpuasa maka keduanya bolih tidak berpuasa dan wajib qadha dan membayar kafarah.

Tersebut pada kitab Fathul Qarib :

والحامل والمرضع إن خافتا على أنفسهما) ضررا يلحقهما بالصوم، كضرر المريض (أفطرتا، و) وجب (عليهما القضاء، وإن خافتا على أولادهما) أي إسقاط الولد في الحامل وقلة اللبن في المرضع (أفطرتا، و) وجب (عليهما القضاء) للإفطار (والكفارة) أيضا. والكفارة أن يُخرج (عن كل يوم مد

Artinya : “Wanita yang hamil dan ibu yang menyusu apabila keduanya bimbangkan atas diri masing-masing jadi mudarat andainya berpuasa seperti mudarat bagi orang yang sakit maka harus keduanya tidak berpuasa dan wajib atas keduanya qadha.

Dan jikalau keduanya bimbangkan anak mereka yakni yang hamil bimbang keadaan kandungannya dan yang menyusu bimbangkan kekurangan susu maka harus keduanya tidak berpuasa dan wajib atas keduanya qadha kerana tidak berpuasa dan wajib pula bayar kafarah yaitu bagi setiap satu hari secupak beras.”

Diharuskan tidak berpuasa atau berbuka ini bukan semata-mata sebab hamil atau menyusu tetapi sebab bimbangkan kemudaratan andainya meneruskan ibadah puasa.

Tersebut pada kitab Mausu’atul Fiqhiyah :

الفقهاء متفقون على أن الحامل والمرضع لهما أن تفطرا في رمضان، بشرط أن تخافا على أنفسهما أو على ولدهما المرض أو زيادته، أو الضرر أو الهلاك

Artinya : “Ulamak fiqah sepakat atas bahawa wanita yang hamil dan ibu yang menyusu harus tidak berpuasa pada Ramadhan dengan syarat bahawa mereka bimbangkan atas diri mereka atau bimbang atas anak mereka kemudaratan atau binasa.”

Jadi kalau tidak dibimbangi diri dan anak mendapat mudarat andainya berpuasa maka haram mereka tidak berpuasa.

Kesimpulan

Wanita yang hamil dan ibu yang menyusu wajib berpuasa Ramadhan.

Wanita yang hamil yang tidak larat menanggung puasa atau bimbangkan mendapat andainya berpuasa maka boleh tidak berpuasa dan wajib atasnya nanti qadha.

Wanita hamil yang bimbangkan kesihatan kandungannya kalau ia berpuasa maka boleh ia tidak berpuasa dan wajib atasnya qadha dan bayar kafarah.

Ibu yang menyusu yang bimbangkan kesihatan dirinya atau tidak larat berpuasa maka harus ia tidak berpuasa dan wajib atasnya qadha.

Ibu yang menysusu yang bimbangkan kekurangan susu bagi anak yang disusunya maka boleh tidak berpuasa dan wajib atasnya qadha dan kafarah.

wallahua’lam

Begitulah penjelasan terperinci dari Ustaz Azhar Idrus, ibu-ibu boleh cuba puasa sehari, kalau rasa tidak dapat teruskan maka berbukalah, sha sarankan jikalau ibu-ibu yang ingin berpuasa, bersahurlah dengan susu dan kurma, insyaAllah tahan sampai ke petang walaupun tengah mengandung dan menyusukan anak..